Warga emas ditemukan rentung dalam sebuah kereta di kawasan parkir Uptown Teluk Cempedak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Teh Thean Hock, 64, dari Taman Air Putih Maju di sini, berdasarkan dokumen peribadi dalam dompet yang ditemui berhampiran kereta terbakar itu.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat kebakaran sebuah kereta Proton Iswara Aeroback pada 6.34 pagi.
"Berikutan itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dikejarkan ke lokasi untuk melakukan operasi memadam.
"Sebaik operasi memadam selesai, pemeriksaan dilakukan pada kereka itu menemui mayat dalam keadaan rentung.
"Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal setakat ini mendapati kejadian itu tidak membabitkan unsur jenayah.
"Berdasarkan maklumat ahli keluarganya, mangsa mengalami masalah kemurungan dan sukar tidur.
"Masalah yang dihadapi itu dikatakan berpunca daripada masalah kesihatannya yang disyaki menghidap kanser prostat dan masih menjalani ujian di sebuah hospital swasta di sini," katanya.
0 Comments