Menjadi lokasi menjual dadah terang-terangan seperti ia bukan satu jenayah. Itu gambaran persekitaran Kuala Muda, Penaga di sini yang digempur pihak berkuasa sempena Op Tapis, semalam.
Operasi tujuh jam berakhir 5 petang itu dijalankan secara bersepadu antara polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, seramai 12 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan ketika urusan jual beli dadah.
"Polis menerima maklumat beberapa kawasan di sini yang dikatakan tempat menjual dadah secara terang-terangan. Jadi serbuan dibuat dan kita merampas dadah jenis heroin seberat 3.2 gram bernilai RM160.
"Seramai 10 individu didapati positif dadah serta dua lagi ditahan kerana kesalahan masing-masing mengedar dan memiliki dadah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, 10 individu diserahkan kepada AADK Seberang Perai Utara untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983, manakala dua lagi direman bagi siasatan mengikut Seksyen 39 A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
0 Comments