Taipei: Pengarah Eksekutif, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Michael Ryan memaklumkan bahawa kenyataan yang mengaitkan Covid-19 bukan berasal dari China adalah bersifat 'terlalu spekulatif'.
Walaupun Beijing terbuka terhadap sebarang siasatan berhubung punca pandemik itu, kerajaan China juga terus mendesak dengan menyatakan virus itu bukan berasal dari negara itu.
China sejak beberapa minggu lalu turut mendakwa Covid-19 dikesan pada penghantaran makanan sejuk beku yang diimport dan virus itu tersebar di Eropah sejak tahun lalu.Dalam sidang media harian di Geneva, semalam, Ryan berkata, daripada perspektif kesihatan awam, virus berkenaan secara jelas dikenal pasti berasal dari negara berkenaan memandangkan kes Covid-19 pertama membabitkan manusia berlaku di China.
Beliau menegaskan ia sekadar satu spekulatif yang mengaitkan China bukan pusat bermulanya pandemik berkenaan.
Ryan turut memaklumkan, WHO sedang merancang untuk memulakan siasatan di Wuhan, iaitu lokasi pertama Covid-19 dikenal pasti.
Katanya, 10 orang saintis yang telah disenaraikan pada awal minggu ini akan bekerjasama dengan pakar kesihatan awam China sepanjang kajian lapangan dan siasatan akan dijalankan mengikut apa-apa bukti dijumpai di bandar itu, lapor CNA.
Dalam pada itu, ahli komuniti global telah menggesa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyiasat asal usul virus itu di China sejak pandemik berkenaan melanda.
Walaupun kumpulan berkenaan telah dihantar ke China bagi menjalankan misi pada Ogos, mereka tidak mengunjungi Wuhan.
Ini menimbulkan lagi kebimbangan dalam kalangan pemimpin antarabangsa berhubung komitmen Beijing bagi mengenal pasti sumber asal pandemik itu.
0 Comments