Kuala Terengganu: Pelbagai lokasi pelancongan di sekitar Terengganu kini bagaikan kembali 'bernafas' semula apabila mula menerima kehadiran ramai pelancong selepas kerajaan memberi pelbagai kelonggaran termasuk kebenaran merentas sempadan negeri dan daerah kecuali kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sejak 7 Disember lalu.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi seperti Pasar Besar Kedai Payang, di sini serta Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus menerima jumlah pelancong yang agak luar biasa berbanding sebelum ini.

Sesetengah kedai makan yang menjual pelbagai jenis makanan laut sekitar sini didapati terpaksa memulakan perniagaan lebih awal daripada biasa kerana orang ramai sudah mula beratur di hadapan kedai-kedai di sini, menunggu dengan penuh sabar.Seorang pelancong, Zaemah Jamaludin, 37, dari Pahang berkata, kelonggaran rentas negeri membolehkan dia pulang ke kampungnya di Kuala Nerus untuk menziarahi ibu bapa serta menikmati makanan kegemaran.

Dia mengakui kebenaran rentas daerah dan negeri adalah peluang terbaik untuk melepaskan kerinduan serta membawa keluarga melancong selepas beberapa bulan tidak dapat berbuat demikian.

Mohamed Rizuan Zainal Abidin, 49, dari Sepang, Selangor yang ditemui di Pasar Besar Kedai Payang pula berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan, dia sering mengingatkan ahli keluarganya supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Saya dengan 12 ahli keluarga termasuk anak, isteri dan ibu mentua memang sudah lama menyimpan hasrat melancong ke Terengganu, namun perancangan itu kerap kali tertunda sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

"Terengganu merupakan destinasi ketiga yang dikunjungi. Sebelum ini kami sudah ke Melaka dan Genting Highlands di Pahang… walaupun perlu patuh SOP, ia masih menyeronokkan kerana kami berpeluang melawat banyak tempat menarik," katanya.

Sementara itu, beberapa pelancong dari zon merah turut mengakui mematuhi arahan yang ditetapkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) supaya mereka menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah, bagi membolehkan penilaian risiko Covid-19 dilakukan.

Abdullah Said, 42, dari Negeri Sembilan berkata, dia serta lima ahli keluarga lain sudah mengisi borang khas dan membuat saringan sebelum bergerak ke mana-mana lokasi pelancongan, bermula semalam.

"Meskipun mengambil masa dan remeh tetapi ia antara langkah terbaik untuk kita sendiri dan orang lain. Langkah yang diambil ini memang boleh dipuji sebab ia membuatkan kita rasa 'bersih' tanpa Covid-19," katanya yang akan melancong di Terengganu selama lima hari.