Sungai Petani: Seorang paraglider sempat diselamatkan orang awam selepas payung paragliding miliknya tersangkut di pokok berketinggian sembilan meter di Pantai Merdeka di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, lelaki tempatan berusia 30 tahun berkenaan dilapor cedera ringan.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.38 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Rudzuan Husain dikerah ke lokasi dan tiba 6.07 petang.

"Setibanya mereka, mangsa didakwa tersangkut di atas pokok namun sudah pun dibawa turun dengan bantuan orang awam.

"Dia juga tiada di lokasi dipercayai dibawa rakannya untuk rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengesahkan hanya payung paragliding mangsa masih berada di lokasi itu dan operasi ditamatkan pada 6.30 petang.