Kuala Lumpur: Sebanyak 9,668 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara menerusi Op Khas Sempena Tahun Baru 2021, kelmarin.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya turut menyita 87 kenderaan kerana pelbagai kesalahan untuk siasatan lanjut.
"Dalam operasi itu, sebanyak 126 tangkapan dilakukan kerana kesalahan mengikut pelbagai seksyen.
"Tangkapan yang dilakukan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 63 orang.
"Seramai 21 individu pula ditahan mengikut Seksyen 42 (1) akta sama kerana memandu secara melulu dan membahayakan dan 11 individu lagi ditahan mengikut Seksyen 108 APJ 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Nadzri berkata, seramai tiga individu ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (10 orang), Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 (empat orang), Akta Dadah Berbahaya 1952 (10 orang) dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (empat orang).
Menurutnya, operasi itu membabitkan 2,462 pegawai polis dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Objektif utama operasi ini memberi fokus mengurangkan kadar kemalangan terutamanya kemalangan maut.
"Ia juga bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan undang-undang lalu lintas selain mengawal ketenteraman trafik yang diselaraskan bersama prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.
0 Comments