Ipoh: Sembilan bangkai anjing liar ditemui berhampiran kawasan kilang di Puncak Jelapang di sini, semalam disyaki diracun individu tidak bertanggungjawab.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, laporan berhubung penemuan kesemua bangkai itu diterima daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang juga penduduk setempat.Katanya, berdasarkan keterangan wanita itu, dua daripada bangkai terbabit ditemui di hadapan rumahnya kira-kira jam 10 malam kelmarin.
"Wanita terbabit mendakwa melihat lima lelaki berada di lorong berhampiran kediamannya namun tidak pasti apa yang dilakukan mereka.
"Pada keesokannya (semalam), wanita itu menemui tujuh lagi bangkai anjing di belakang kilang berhampiran kediamannya dan dia percaya kesemua anjing berkenaan diracun individu tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada individu diletakkan sebagai suspek kes dan laporan dibuat untuk keselamatan diri pengadu dan kawasan perumahan berkenaan.
Katanya, kes itu dirujuk kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
0 Comments