Kerajaan negeri membuat beberapa penambahbaikan serta ubahsuai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut keperluan rakyat di Kelantan.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, persetujuan mengenai penambahbaikan SOP diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Berkaitan PKPB yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, semalam.


Beliau berkata, antara penambahbaikan SOP sepanjang tempoh PKPB termasuklah waktu operasi pasar raya, pusat beli-belah dan kedai runcit bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.


"Selain itu, waktu operasi pasar borong pula antara jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing dan tidak melebihi jam 5 petang.


"Pemilik premis perniagaan juga dikehendaki mengehadkan bilangan pelanggan dalam satu-satu masa serta memaparkan jumlah maksimum pelanggan dengan mengambil kira keluasan dan juga penjarakan individu di dalam premis berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Ahmad berkata, operasi di stesen minyak adalah antara jam 6 pagi hingga 10 malam kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.


"PBT juga dikehendaki mengeluarkan arahan tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur iaitu 12 tahun serta individu berisiko masuk ke taman awam di bawah Undang-Undang Kecil Taman PBT.


"Selain itu, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta individu berisiko juga tidak dibenarkan memasuki pasar raya dan premis perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Trade, Perniagaan dan Perindustrian PBT.


"Justeru itu, pihak PBT dipohon untuk mengeluarkan pemakluman ini kepada orang awam di kawasan masing-masing melalui banting, sepanduk dan sebarang bahan hebahan yang boleh digunakan bagi tujuan ini.


"Penambahbaikan dan pengubahsuaian SOP ini adalah berkuat kuasa serta merta," katanya.